• Blazeprop Blog
  • Posts
  • Kes Lari dan Strategi Untuk Transaksi Hartanah Lebih Selamat

Kes Lari dan Strategi Untuk Transaksi Hartanah Lebih Selamat

Kunci Utama:

  • Artikel ini menerangkan akibat melarikan diri dari urus niaga hartanah serta kepentingan kepercayaan dan ketelusan untuk transaksi hartanah yang selamat.

  • Pembeli dan penjual boleh melindungi diri mereka dengan menjalankan usaha wajar, mendapatkan perkhidmatan ejen hartanah dan peguam, dan menggunakan kaedah pembayaran selamat semasa berurus niaga.

  • Kajian kes sebenar berfungsi sebagai kisah peringatan, menggariskan kepentingan pematuhan undang-undang dan perancangan yang teliti dalam urus niaga hartanah.

  • Blaze Property menggabungkan teknologi canggih dan kepakaran manusia untuk anda menikmati pengalaman urus niaga hartanah terunggul.

  • Blaze Property menyediakan perkhidmatan pengesahan, usaha wajar serta sokongan undang-undang, melengkapkan anda dengan maklumat dan garis panduan untuk transaksi yang selamat.

Pengenalan

Berurus niaga dalam pasaran hartanah Malaysia yang dinamik tidaklah semudah yang disangka kepada pembeli dan penjual. Urus niaga hartanah dijalankan secara berperingkat dengan risiko tersendiri, dan antara risiko tersebut adalah "melarikan diri" - menghilangkan diri secara tiba-tiba atau berlakunya pengabaian tanggungjawab oleh salah satu pihak semasa perjanjian. Dalam artikel ini, kami akan menjelaskan akibat melarikan diri semasa berurus niaga dan juga langkah-langkah perlindungan yang boleh diambil oleh pembeli dan penjual hartanah di Malaysia.

Apakah Itu Melarikan Diri?

Melarikan diri dianggap melanggar syarat perjanjian hartanah dan menyebabkan salah satu pihak terdedah kepada tekanan kewangan dan emosi. Hal ini terjadi apabila pembeli atau penjual berhenti berkomunikasi secara tiba-tiba, gagal memenuhi kewajipan kontrak, atau mengabaikan tanggungjawab tanpa notis terlebih dahulu. Hal ini boleh berlaku pada mana-mana peringkat, daripada rundingan awal sehinggalah pemindahan hak milik terakhir.

Melarikan diri semasa berurus niaga bermakna salah satu pihak telah mengabaikan tanggungjawab mereka, menyebabkan pihak lain berpotensi mengalami masalah kerugian kewangan. Sama ada pembeli yang menghilangkan diri selepas tawaran diterima atau penjual mengundurkan diri tanpa alasan yang munasabah, hal ini boleh meninggalkan kesan yang buruk.

Pelbagai faktor boleh menyumbang kepada hal ini, pembeli mungkin menghadapi masalah peribadi dengan hartanah itu, menghadapi kekangan kewangan secara tiba-tiba atau masih mencari tawaran yang lebih menarik di tempat lain. Sebaliknya, penjual mungkin menghadapi cabaran undang-undang atau kewangan yang tidak dijangka, menyebabkan mereka mengabaikan urus niaga tersebut.

Impak melarikan diri adalah sangat besar bagi kedua-dua pembeli dan penjual. Pembeli mungkin mengalami kerugian kewangan akibat wang deposit yang tidak boleh dikembalikan, masa yang terbuang dan peluang yang terlepas. Bagi penjual, pembeli yang melarikan diri boleh mengakibatkan kelewatan dalam mencari pengganti yang sesuai, menjurus kepada tekanan kewangan dan ketidakpastian.

Kes-kes Sebenar dan Akibatnya

Meneliti kes-kes yang telah berlaku dalam kehidupan sebenar membantu anda memahami keseriusan hal ini. Kajian kes ini berfungsi sebagai kisah amaran untuk pembeli dan penjual urus niaga hartanah, menekankan risiko dan akibat-akibatnya.

Kes 1

Musnah impian seorang juruteknik Malaysia bernama Wong untuk memiliki rumah apabila beliau telah menjadi mangsa penipuan hartanah di Johor Bahru. Beliau terjumpa Skim Rumah Belia di media sosial dan telah menghubungi seorang ejen yang menawarkan sebuah unit kondo mewah serba lengkap dengan rebat tunai 60% berharga RM390,000. Ejen itu meyakinkan Wong untuk membeli dua unit, memastikan dia tidak perlu membuat sebarang bayaran pendahuluan, berjanji untuk membiayai ansuran pinjaman dan juga mencarikan penyewa rumah untuk Wong. Wong percaya dengan janji-janji palsu ejen itu lalu memohon pinjaman bagi setiap unit berharga RM500,000. Beberapa bulan kemudian, Wong telah menerima notis daripada bank mengenai tunggakan pembayaran pinjaman yang masih belum dibayar. Beliau sendiri telah melewati unit-unit kondo tersebut dan mendapati tiada pengubahsuaian dilakukan dan tiada penyewa yang mendudukinya. Ejen itu gagal menunaikan janji dan menghilangkan diri, meninggalkan Wong dengan hutang kira-kira RM70,000 dan kedua-dua unit kondo itu telah dilelong oleh bank. Kes ini telah dirujuk ke Mahkamah Majistret dengan harapan tindakan undang-undang akan diambil terhadap ejen hartanah tersebut. Baca kes penuh di sini.

Kes 2

Kes ini membabitkan seorang bekas pekerja pengurusan OG Heights Condominium berusia 64 tahun. Beliau didakwa melarikan diri dengan wang penyelenggaraan penduduk berjumlah RM500,000. Wanita itu dilaporkan hilang pada September 2020, dan siasatan awal mendapati adanya percanggahan antara pengeluaran resit penyelenggaraan dan jumlah yang direkodkan dalam akaun syarikat bermula Julai 2016 sehingga September 2020. Sebuah firma perakaunan forensik mendapati RM582,125 telah hilang dari akaun badan pengurusan semenjak 2017 hinggalah 2020. Saksi telah dipanggil untuk membantu siasatan, manakala suspek masih bebas. Baca kes penuh di sini.

Akibat Melarikan Diri Kepada Pembeli

Apabila penjual melarikan diri ketika berurus niaga hartanah, kesan buruknya amat besar kepada pembeli. Memahami akibat-akibat ini boleh membantu individu berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Kerugian Kewangan: Salah satu impak yang paling besar kepada pembeli adalah kerugian kewangan. Deposit yang dibuat semasa peringkat awal perjanjian tidak boleh dikembalikan dan mungkin hilang sepenuhnya. Selain itu, kos-kos lain yang ditanggung pembeli seperti yuran guaman dan pemeriksaan hartanah mungkin menjadi sia-sia jika perjanjian itu batal.

Tekanan Emosi: Membeli hartanah adalah antara perkara terpenting dalam kehidupan seseorang, maka apabila penjual melarikan diri ianya boleh menyebabkan tekanan emosi kepada pembeli. Impian untuk menjadi seorang pemilik rumah atau membuat pelaburan yang kukuh dengan cepat boleh bertukar menjadi kekecewaan dan kehampaan.

Kelewatan dalam Perolehan Harta: Masa adalah penting dalam urus niaga hartanah, dan apabila pembeli berhadapan dengan penjual yang melarikan diri, akan berlaku kelewatan yang ketara memperolehi harta tersebut. Kelewatan ini boleh mengganggu perancangan lain, seperti pengaturan pemindahan atau pengaturan kewangan.

Akibat Melarikan Diri Kepada Penjual

Pembeli yang melarikan diri juga boleh memberi kesan buruk kepada penjual, menjejaskan perancangan dan kestabilan kewangan mereka.

Kesan Undang-undang dan Potensi Saman: Penjual yang berhadapan dengan pembeli yang melarikan diri mungkin akan mengambil tindakan undang-undang. Bergantung pada keadaan, penjual mungkin perlu mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan semula sebarang kerugian kewangan atau kerosakan yang dialami.

Reputasi dan Prospek Masa Depan Terjejas: Jika sesuatu perjanjian hartanah gagal akibat pembeli yang melarikan diri, ianya akan mencemarkan reputasi penjual dalam pasaran hartanah. Ulasan negatif dari mulut ke mulut dan dalam talian akan menjejaskan kredibiliti penjual dan juga prestasi jualan hartanah pada masa akan datang.

Liabiliti dan Penalti Kewangan: Apabila seorang pembeli melarikan diri dari suatu perjanjian hartanah, penjual yang mengharapkan hasil dari jualan itu untuk membiayai kos-kos lain seperti gadai janji sedia ada mungkin akan menghadapi tekanan kewangan. Selain itu, penjual juga mungkin akan dikenakan penalti jika mereka tidak dapat memenuhi kewajipan kontrak mereka kepada pihak ketiga yang terlibat dalam transaksi.

Langkah-langkah Perlindungan untuk Pembeli

Untuk melindungi diri daripada berurusan dengan penjual yang melarikan diri, pembeli boleh mengambil beberapa langkah pencegahan semasa urus niaga hartanah dijalankan.

Usaha Wajar yang Teliti: Menjalankan usaha wajar (due diligence) yang menyeluruh adalah penting sebelum memasuki mana-mana perjanjian hartanah. Pembeli harus menyiasat sejarah hartanah tersebut, status undang-undang dan juga sebarang liabiliti tersembunyi. Mengesahkan pemilikan penjual dan menyemak sebarang liabiliti tertunggak akan membantu memastikan transaksi itu telus dan selamat.

Berurusan Dengan Ejen dan Peguam Hartanah Bereputasi: Bekerjasama dengan ejen dan peguam hartanah yang berpengalaman boleh membimbing anda sepanjang proses transaksi. Pakar profesional yang dipercayai boleh mengenal pasti red flags pada peringkat awal, berunding bagi pihak pembeli dan memastikan semua dokumen undang-undang adalah tepat dan lengkap.

Kaedah Pembayaran Selamat dan Perkhidmatan Escrow: Pembeli harus menggunakan kaedah pembayaran yang selamat untuk melindungi dana mereka semasa urus niaga dijalankan. Menggunakan perkhidmatan escrow boleh menambah lapisan keselamatan, memastikan bahawa dana dikeluarkan hanya apabila syarat tertentu dipenuhi, sekaligus meminimumkan risiko kerugian kewangan.

Merangka Perjanjian Lengkap: Perjanjian pembelian yang digubal harus merangkumi terma dan syarat yang jelas untuk melindungi kepentingan kedua-dua pihak, termasuk kontingensi untuk situasi seperti pemeriksaan hartanah dan kelulusan pembiayaan yang boleh memberikan pembeli jalan keluar sekiranya berlaku isu yang tidak dijangka.

Langkah-langkah Perlindungan untuk Penjual

Penjual juga boleh mengambil langkah-langkah proaktif untuk melindungi kepentingan diri mereka dan mengurangkan risiko-risiko berhadapan dengan pembeli yang melarikan diri.

Menyaring Bakal Pembeli: Sebelum memasuki sebarang perjanjian, penjual harus mengesahkan keupayaan kewangan dan komitmen bakal pembeli terhadap urus niaga tersebut. Meminta bukti dana atau pra-kelulusan gadai janji boleh membantu memastikan keseriusan pembeli untuk memenuhi syarat-syarat perjanjian itu.

Dokumentasi dan Pendedahan yang Betul: Penjual harus memberikan maklumat yang tepat dan komprehensif berkaitan hartanah kepada bakal pembeli. Pendedahan penuh tentang sebarang isu atau defect yang diketahui akan memupuk kepercayaan dan ketelusan antara penjual dan pembeli sekaligus mengurangkan pertikaian yang mungkin akan berlaku dalam transaksi.

Menggunakan Perantara Profesional: Melibatkan perkhidmatan ejen hartanah berpengalaman dan pakar undang-undang boleh membantu penjual menguasai kerumitan berurus niaga hartanah. Pakar profesional juga boleh membantu merundingkan terma dan syarat yang melindungi kepentingan penjual.

Perlindungan dalam Perjanjian Jualan: Penjual boleh memasukkan klausa dalam perjanjian jualan untuk melindungi kepentingan mereka, seperti mengenakan deposit wang dan meletakkan penalti bagi pembeli yang gagal melaksanakan kewajipan kontrak mereka.

Kepentingan Bantuan Guaman

Dalam urus niaga hartanah, bantuan guaman memainkan peranan penting dalam menjaga kepentingan kedua-dua pembeli dan penjual. Melibatkan peguam hartanah yang cekap boleh memberikan panduan yang tidak ternilai, memastikan pematuhan terhadap peraturan dan menawarkan perlindungan terhadap risiko berpotensi.

Menguasai Kerumitan Perundangan: Urus niaga hartanah melibatkan pelbagai selok-belok undang-undang yang boleh membebankan individu yang tidak arif. Seorang peguam hartanah boleh membantu menavigasi kontrak yang kompleks, keperluan kawal selia dan undang-undang tempatan, memastikan semua pihak mematuhi kewajipan undang-undang.

Semakan dan Rundingan Kontrak: Perjanjian pembelian yang dirangka dengan baik adalah penting untuk melindungi kedua-dua pembeli dan penjual semasa transaksi hartanah dijalankan. Seorang peguam hartanah boleh menyemak kontrak, mengenal pasti sebarang tipu helah, dan merundingkan syarat yang melindungi kepentingan pelanggan mereka.

Pengesahan Hakmilik dan Pemilikan: Mengesahkan hak milik dan status pemilikan hartanah adalah penting untuk mengelakkan pertikaian pada masa hadapan. Seorang peguam boleh melaksanakan carian hak milik yang teliti, memastikan tiada lien, bebanan atau pertikaian pemilikan yang boleh menjejaskan transaksi.

Mengendalikan Pertikaian dan Kontingensi: Sekiranya timbul sebarang pertikaian semasa proses transaksi, peguam hartanah boleh bertindak sebagai pengantara dan juga wakil undang-undang untuk menyelesaikan isu secara baik. Mereka juga boleh membantu mengendalikan isu luar jangkaan seperti pemeriksaan hartanah dan kelulusan pembiayaan untuk melindungi kepentingan pelanggan mereka.

Pematuhan dengan Keperluan Kawal Selia: Urus niaga hartanah di Malaysia tertakluk kepada keperluan kawal selia dan cukai yang khusus. Seorang peguam memastikan semua kertas kerja yang diperlukan lengkap dan betul, meminimumkan risiko kelewatan dan mematuhi undang-undang.

Perlindungan dari Penipuan: Dengan peningkatan skim penipuan dalam pasaran hartanah, mendapatkan bantuan undang-undang boleh melindungi diri anda. Peguam boleh mengesan red flags dan menghalang pelanggan daripada menjadi mangsa skim penipuan.

Blaze Property: Rakan Kongsi Dipercayai dalam Transaksi Hartanah

Blaze Property menawarkan platform berteknologi tinggi dan pelbagai perkhidmatan ringkas yang membezakan kami daripada ejen hartanah tradisional. Gabungan unik teknologi canggih dan sentuhan manusia kami memastikan pengalaman hartanah yang terunggul untuk kedua-dua pembeli dan penjual. Dengan kemudahan carian hartanah, komunikasi berkesan dan proses transaksi optimum, Blaze Property memudahkan kerumitan transaksi hartanah anda.

Kami menyediakan perkhidmatan pengesahan dan usaha wajar yang teguh, mengesahkan butiran hartanah dan menjalankan penilaian menyeluruh untuk memperkasakan pelanggan dengan maklumat yang tepat. Selain itu, Blaze Property menawarkan sokongan undang-undang yang komprehensif melalui rangkaian peguam hartanah berpengalaman kami, memastikan urus niaga hartanah anda mematuhi keperluan undang-undang tanpa sebarang kerumitan. Dengan tumpuan untuk membina kepercayaan dan hubungan yang kukuh, ejen Blaze Property membimbing pelanggan pada setiap langkah untuk memupuk keyakinan anda terhadap kepakaran kami.

Kesimpulan

Memahami keburukan melarikan diri dan mengambil langkah-langkah perlindungan adalah penting untuk semua pihak yang terlibat. Dengan meneliti kes-kes kehidupan sebenar dan mencontohi transaksi yang berjaya, individu boleh membuat persediaan yang secukupnya untuk berurus niaga dengan lebih lancar. Dengan Blaze Property sebagai rakan kongsi di sisi anda, pembeli dan penjual boleh memanfaatkan kuasa teknologi dan kepakaran manusia untuk mengemudi pasaran hartanah dengan yakin. Dengan melaksanakan langkah-langkah perlindungan dan mendapatkan sokongan pakar profesional, individu boleh melindungi kepentingan masing-masing dan mencapai urus niaga hartanah yang berjaya dan selamat.

Instagram: @myblazeproperty

Facebook: Blaze Prop

Tik Tok: @blaze.prop

WhatsApp: +60178792750

Penulis: Adlene Hanna